Nuffnang Ads

Friday, February 19, 2010

Menelah usia dari cara berseluar



ADA yang suka pakai di atas pusat, ada pula yang memakainya di bawah pusat. Walau apa pun, cara seorang lelaki memakai seluarnya sedikit sebanyak mendedahkan peringkat usianya, menurut satu kajian.

Kajian yang dilakukan oleh sebuah kedai, Debenhams di United Kingdom (UK) ke atas 1,000 lelaki menunjukkan bahawa ikatan pinggang seorang lelaki naik dan turun sepanjang kehidupannya.

Seluar biasanya dipakai dekat paras punggung semasa usia 16 tahun, tetapi naik sehingga hampir ke paras atas pusat semasa usia mencecah 57 tahun, menurut kajian itu. Kajian itu juga menunjukkan bahawa budak-budak lelaki biasanya akan memakai seluar mereka di paras pinggang semasa masih di bawah jagaan dan dibantu ibu bapa semasa berpakaian.

Tetapi mereka biasanya tidak akan memakai seluar mengikut cara sedemikian semasa remaja - sehinggalah usia mencecah lewat 20-an tahun. Dalam usia sebegini, seluar mereka dipakai sekitar 12 sentimeter sehingga mencecah pinggul. Malah seluar dipakai lagi rendah semasa mereka berusia 16 tahun, seolah-olah mirip seorang penyanyi rapper, sehingga mendedahkan seluar dalam mereka sebanyak beberapa sentimeter.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa seluar mula dipakai lebih tinggi sedikit apabila seorang lelaki itu meninggalkan zaman remaja dan mula bekerja. Apabila usia mencecah 27 tahun, seorang budak lelaki yang bertubuh sederhana akan mula memakai seluar di paras pinggangnya. Tetapi apabila usia mula masuk 39 tahun, seluar mula dipakai lebih tinggi dan apabila mencecah usia 45 tahun seluar itu akan dipakai sehingga lima sentimeter di atas paras pinggang.

Menurut kajian itu lagi, seluar mula dipakai lebih tinggi sehingga 12 sentimeter di atas paras pinggang apabila usia mereka lebih 50 tahun. Apabila kaum lelaki mula masuk usia persaraan, paras seluar yang dipakai mereka mula menurun. Apabila mencecah 65 tahun, ia dianggarkan sekitar 7.5 sentimeter di atas paras pinggang. Dan apabila mencecah usia 75 tahun ia hanya 2.5 sentimeter di atas paras pinggang.

Pengarah pakaian lelaki di Debenhams, Encik Paul Baldwin, dipetik laman-laman UK sebagai berkata:

'Dapatan kami amat penting kerana kedudukan pinggang menentukan bagaimana seluar mereka dijahit. Tugas yang menyulitkan ialah untuk terus menggalak kaum Adam agar menghadapi kebenaran bahawa seluar yang dipakai mula tinggi dari paras pinggang apabila usia meningkat. Sebaliknya ada yang menganggap bahawa seluar mereka tidak lagi muat dipakai kerana kaki mereka telah membesar secara tiba-tiba.'

Sementara itu, seorang kakitangan di London College of Fashion, Encik Shaun Cole, berkata bentuk tubuh seorang lelaki menentukan keadaan pinggangnya.

'Dengan kadar kegemukan yang bertambah, kaum Adam yang mempunyai berat badan berlebihan mungkin tidak sedar sekiranya mereka patut pakai seluar di atas atau bawah perut,' katanya lagi.

Kebingungan ini juga merupakan sebahagian daripada hasil dapatan kajian tersebut.

Kajian itu menunjukkan bahawa meskipun kebanyakan lelaki lebih suka memakai seluar di atas pinggang mereka, tetapi sekitar 20 peratus lelaki yang lebih tua akan tidak menghiraukan perubahan pada bentuk tubuh mereka dan memakai seluar di paras lebih rendah daripada pinggang mereka yang sebenar.

APA KATA LELAKI MELAYU

Rata-rata seramai 20 lelaki yang ditemuramah bersetuju dengan dapatan kajian itu. Meskipun begitu seramai enam responden yang berusia 45 tahun berkata mereka tidak sedar bahawa paras pinggang mereka telah meningkat.

Salah seorang daripada mereka Encik Abdul Rahman Anuar, 46 tahun berkata: 'Saya ingat semasa remaja saya pakai seluar di paras pinggang. Tapi kini selepas perut mula membesar, saya tidak begitu sedar di paras mana sebenarnya saya pakai seluar.'

Seorang lagi responden, Encik Mohamed Sallim Talib, 29 tahun, akur beliau sering memakai seluarnya di bawah paras pinggang semasa zaman remajanya.

'Pada ketika itu memang satu fesyen bagi remaja lelaki pakai seluar di paras bawah pinggang, sehingga menunjukkan sedikit seluar dalam.

'Tapi semua mula berubah apabila saya mula masuk alam pekerjaan dan berumah tangga. Kini saya pakai seluar pada paras pinggang yang sebenar. Perubahan ini secara semula jadi,' kata pengurus sebuah bank itu lagi sambil menunjukkan paras pinggangnya.

Seorang remaja, Shahril Karim, 17 tahun, pula berkata: 'Selagi muda saya tidak boleh berpakaian seperti orang tua. Mestilah ikut gaya orang muda - seluar bawah pusat. Kalau atas pusat macam tak style begitu.'

No comments:

Iklan

Ingin Berhenti Merokok ?

Malaysia Web Server